KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik
pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan
tidak akan melanjutkan had usia bagi pengeluaran penuh wang caruman KWSP
dari 55 tahun kepada 60 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata,
pengumuman Perdana Menteri itu selari dengan penemuan awal kaji selidik
rundingan KWSP yang mendapati rata-rata ahli memilih pilihan kedua di
dalam cadangan KWSP.
“Pilihan tersebut mengekalkan Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dan
penambahbaikan dibuat agar caruman baru disimpan sehingga umur 60 tahun.
“Saranan Perdana Menteri dan pilihan ahli kami semestinya akan
diambil berat oleh Lembaga KWSP,” katanya dalam satu kenyataan media
hari ini.
Kata Shahril, sokongan Perdana Menteri untuk skim syariah KWSP
memberi dorongan kepada agensi itu untuk meneruskan perancangan bagi
membangunkan opsyen tersebut kepada pencarum.
“KWSP juga akan memberikan maklumat lanjut dalam masa terdekat
mengenai perkara ini. Pengenalan opsyen ini akan mewujudkan dana patuh
syariah terbesar di dunia,” katanya.
Sehubungan itu, Shahril mengesa ahli KWSP terus memberi maklum balas
terhadap kaji selidik KWSP memandangkan terdapat cadangan penambahbaikan
inisiatif yang lain.
“KWSP juga ingin memastikan pandangan ahli tetap diambil kira dalam
semua inisiatif utama di mana akan memberikan kesan langsung terhadap
simpanan persaraan mereka,” katanya.
Dalam satu pengumuman pagi ini, Najib berkata, Putrajaya tidak akan
melanjutkan had usia bagi pengeluaran penuh wang caruman KWSP dari 55
tahun kepada 60 tahun selepas mengambil kira reaksi masyarakat terhadap
isu itu. - Kedahnews.com