ALOR SETAR - Kerajaan hari ini mengumumkan tidak akan melanjutkan had usia pengeluaran penuh wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dari 55 tahun kepada 60 tahun sebagaimana yang dicadangkan agensi berkenaan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut diputuskan setelah mengambil kira reaksi masyarakat terhadap isu berkenaan beberapa hari lalu.
“Kerajaan ini sentiasa mendengar pandangan rakyat.
“Dan jelas sekali sebahagian besar ahli KWSP, sambil memahami
kepentingan simpanan persaraan pada usia 60 tahun, mahukan hak
menggunakan dana persaraan mereka pada usia 55 tahun,” jelas Najib dalam satu kenyataan pagi ini.
Kenyataan tersebut dibuat Najib dalam satu pengumuman khas di Invest Malaysia 2016 yang dibuat di ibu negara.
Menurut Najib lagi, satu proses perundingan dalam talian yang dibuat
selama dua hari menyaksikan kira-kira 50,000 rakyat Malaysia mengambil
bahagian dan majoritinya memohon agar simpanan persaraan mereka boleh
dikeluarkan pada usia 55 tahun. -Kedahnews.com