KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan
empat inisiatif bagi menambah baik skim pencen sekarang termasuk
menyelaraskan umur pengeluaran penuh dengan umur persaraan minimum
seperti yang ditentukan oleh kerajaan.
Tiga cadangan lain adalah menyelaraskan caruman minimum dengan
undang-undang umur minimum, melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75
tahun kepada 100 tahun, dan memperkenalkan simpanan persaraan patuh
Syariah sebagai tambahan kepada skim sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata
meskipun perubahan dalam umur pengeluaran penuh, pengeluaran
prapersaraan sedia ada kekal tidak berubah.
“Cadangan itu bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan
simpanan persaraan yang tidak mencukupi dalam kalangan ahli KWSP bagi
tempoh jangka panjang,” katanya pada pelancaran perundingan ahli-ahli
KWSP bagi cadangan-cadangan tersebut, di sini, hari ini.
Beliau berkata mengikut perangkaan KWSP, 78 peratus ahli KWSP aktif
pada usia 54 tidak mencapai simpanan asas pada RM196,800 dan 68 peratus
ahli pada usia 54 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.
“Bagi isu semasa berkaitan penyelarasan umur persaraan dan umur
pengeluaran, ahli-ahli akan diminta menimbang dua cadangan — melanjutkan
umur pengeluaran penuh daripada 55 kepada 60 tahun secara berperingkat
dalam tempoh 15 tahun, atau mengekalkan umur pengeluaran 55 bagi
simpanan sedia ada dan memperkenalkan umur pengeluaran baharu pada 60
tahun bagi caruman mereka yang bekerja selepas usia 55 tahun,” katanya.
Shahril Ridza berkata KWSP menggunakan platform perundingan bagi
berbincang secara aktif bersama ahli-ahlinya kerana ia adalah cara yang
baik bagi mereka untuk memahami isu-isu berkaitan dengan kesejahteraan
persaraan mereka.
“Kami ingin menegaskan bahawa pada masa ini tidak ada sebarang
keputusan yang telah dimuktamadkan dan kami amat menggalakkan para ahli
untuk mengambil bahagian dalam proses ini kerana maklum balas mereka
sangat penting kepada kami,” katanya.
Beliau berkata cadangan itu, sekiranya menerima maklum balas yang
baik daripada ahli, boleh dilaksanakan seawal tahun depan. – BERNAMA