Langkawi Digempur, Imigresen Kedah Tahan 28 PATI

ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, Bangladesh dan India dalam satu operasi di tapak pembinaan di Kuah, Langkawi, tengah malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi pada pukul 12.30 tengah malam itu pihaknya telah memeriksa 60 lelaki warga asing yang tinggal di rumah kongsi tapak pembinaan itu.

Katanya pemeriksaan mendapati 21 lelaki warga Myanmar, enam lelaki Bangladesh dan seorang lelaki India berumur antara 13 hingga 49 tahun tiada dokumen perjalanan sah dan tamat tempoh.

Beliau berkata kesemua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa selepas dokumen tamat tempoh.

“Semua PATI ditahan di balai Polis Kuah untuk siasatan lanjut,” kata Mohamad Yusri dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sungai Petani menahan tujuh warga Thailand dan Kemboja berumur dua hingga 30 tahun di sekitar Sungai Petani, Gurun dan Bedong yang menjalankan aktiviti mengemis.

Katanya operasi bermula 8 malam semalam mendapati dua lelaki Thailand telah melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Beliau berkata tiga wanita, seorang kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan Kemboja berumur dua tahun ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, siasatan mendapati dua daripada tiga wanita Kemboja itu bukan beragama Islam tetapi berpakaian seperti wanita Islam bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan wang. – BERNAMA