SEMENYIH – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengeluarkan laporan
awal siasatan nahas helikopter awam yang terhempas di Kampung Sungai
Pening di Semenyih petang semalam, dalam masa seminggu, kata Pengarah
Operasi Penerbangan DCA Datuk Yahaya Abdul Rahman.
Beliau berkata pada masa ini tumpuan DCA dan pasukan penyelamat ialah
mencari perakam suara dan mengumpul serpihan helikopter itu untuk
siasatan lanjut.
Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Yahaya berkata DCA akan
bekerjasama dengan syarikat pengeluar helikopter, Airbus dari France
untuk membantu siasatan dari sudut teknikal.
Siasatan itu turut melibatkan tiga wakil DCA dan dua anggota biro
siasatan nahas kemalangan udara dari Kementerian Pengangkutan, yang kini
berada di lokasi kejadian.
“DCA datang dan hendak tengok daripada atas (semasa memantau lokasi
nahas dari udara) kalau ada apa-apa yang perlu dibantu. Kita hendak
tengok jika ada benda yang jatuh sebelum nahas itu.
“Selepas itu saya hendak tengok bangkai helikopter sebelum membuat
perancangan untuk siasatan lanjut. DCA minta bantuan dari pasukan
penyelamat lain,” katanya.
Yahaya mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang rakaman percakapan terakhir antara juruterbang dan menara kawalan.
“Kami perlu menilai dari segi masalah mekanikal jika ada. Saksi berkata nampak helikopter terjunam,” katanya.
Mengenai spekulasi sama ada helikopter meletup di udara atau
terlanggar pencawang, Yahaya berkata DCA tidak mempunyai maklumat lanjut
mengenai spekulasi itu.
Namun, melalui pemerhatian peribadi, beliau mendapati tiada pencawang
di sekitar lokasi kejadian yang merupakan lembah dan helikopter
terjunam kira-kira 1,500 kaki.
Nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening pada Sabtu
petang (semalam), telah mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya
iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri Tan
Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri
Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu
operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran
dan Datuk Tan Huat Seang. - BERNAMA