Latheefa Koya Mahu Agong Tulis, Sampaikan Sendiri Keputusan Tolak Pengampunan DiRaja?


Alor Setar - Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Latheefa Koya menegaskan pihaknya tidak mengiktiraf keputusan Lembaga Pengampunan yang dilaporkan menolak permohonan pengampunan DiRaja yang dipohon keluarga Ketua Umum PKR itu sebelum ini.

Latheefa berkata, keputusan Lembaga Pengampunan itu sepatutnya disampaikan sendiri secara bertulis oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mempengerusikan lembaga tersebut.

Malah peguam itu juga mempertikai penolakan petisyen yang dipohon isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah itu yang telah difailkan mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara bawah Akta Penjara 1995, sedangkan permohonan tersebut tidak dibuat di bawah peraturan tersebut.

"Dalam soal ini, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen itu mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara bawah Akta Penjara 1995.

“Bagaimanapun, keluarga Anwar tidak membuat permohonan rayuan bawah Peraturan 113, yang menimbulkan pertikaian,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari sebuah laman portal pro-pembangkang, semalam.

Oleh sebab itu, Latheefa menegaskan bahawa pihak tetap memohon untuk mengenepikan keputusan Lembaga Pengampunan itu dan mahu Anwar dibenarkan menghadiri sidang parlimen.

Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad dilaporkan telah membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut.

"Beliau turut mengarahkan kos RM3,000 dibayar oleh Anwar,” kata Latheefa yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan. -Kedahnews.com