BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 400 petugas media dari dalam dan luar
negara terlibat dalam membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Permatang Pauh yang dijadual 7 Mei ini.
Jumlah itu adalah berdasarkan bilangan petugas media yang telah
mendaftar dengan Jabatan Penerangan sehingga kini, kata Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman di sini hari ini.
“Bilangan itu adalah antara yang teramai pernah terlibat dalam
pilihan raya kecil dan kami jangka jumlah itu akan bertambah,” katanya
ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Media Kementerian Komunikasi dan
Multimedia di sini hari ini.
Pusat media yang terletak di Kolej Komuniti Seberang Jaya, di sini,
dilengkapi bilik media dengan kemudahan Internet dan komputer serta
petugas yang membantu media mendapatkan maklumat tambahan.
Ibrahim berkata semua petugas media dan petugas agensi kerajaan boleh
menggunakan pusat media itu yang telah memulakan operasi semalam.
“Kami buka pusat media itu mengikut keperluan dan saya harap
kemudahan yang telah disediakan di situ mencukupi untuk media gunakan
sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata seramai 120 petugas Jabatan Penerangan
akan bertugas sepanjang PRK Parlimen Permatang Pauh dengan lima petugas
ditempatkan di setiap daerah mengundi.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong selepas penyandangnya Datuk
Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat apabila Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Mei ini sebagai hari pengundian bagi PRK itu. – BERNAMA