Lelaki Dicekup Sedang Asyik Rebus Ketum

JITRA - Seorang lelaki ditahan sepasukan polis ketika memproses air rebusan dalam serbuan di Kampung Lubuk Batu, Mukim Pelubang, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menahan suspek yang ketika itu leka menggaul air rebusan daun ketum di dalam sebuah periuk di kawasan belukar yang  terletak di belakang sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, suspek menjadikan kawasan belukar berkenaan sebagai tempat memproses air ketum bagi mengelak kegiatannya itu diketahui orang ramai.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu bekerja sebagai penoreh getah dan menjalankan kegiatan itu secara sampingan.

“Pemeriksaan di lokasi serbuan menemui tiga bekas plastik diisi 129 bungkus cecair disyaki air ketum,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abd Rahim berkata, kesemua bungkusan air ketum dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses bahan terlarang berkenaan dirampas pihaknya manakala suspek dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya. -Sinar Harian