Lelaki Suspek Tikam Tunang Sampai Mati Ditahan Polis Johor

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan pemuda yang dipercayai menikam mati gadis bekas tunangnya dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kluang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pemuda berusia 20-an itu ditahan kira-kira 10 malam di Bandar Penawar, Kota Tinggi, dua hari lepas.

“Ketika ditahan, pemuda itu dipercayai sedang menunggu bot dalam usaha meloloskan diri ke negara jiran menggunakan laluan tidak sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pemuda itu kini direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Katanya polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menghubungi polis bagi melengkapkan siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang 10 April, Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, meninggal dunia selepas ditikam bekas tunangnya kerana mencemburui mangsa mempunyai pengganti dan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Laporan bedah siasat mengesahkan punca kerani stor itu meninggal dunia disebabkan tusukan pisau pada rusuk kiri yang mengenai paru-paru.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis berjaya menyelesaikan 44 kes samun kediaman di beberapa daerah di negeri ini selepas menahan tiga lelaki warga asing di Pontian dan Kluang, Khamis minggu lepas.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan pada kira-kira 11 malam dan polis merampas sejumlah senjata tajam, topeng ski, barangan kemas, pelbagai jam tangan serta wang tunai daripada mereka.

“Dipercayai mereka bersama-sama seorang lagi rakan terlebih dahulu menyamun sebuah kediaman di Kluang sehari sebelum itu yang menyebabkan mangsa kerugian sehingga RM20,000,” katanya.

Katanya, seorang daripada mereka didapati mempunyai lapan rekod dikehendaki polis dipercayai melibatkan kes-kes samun kediaman di Pontian, Kluang, Batu Pahat serta Kulaijaya dan mereka kini direman untuk siasatan. – BERNAMA