KUALA LUMPUR – Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman
penjara lima tahun kerana meliwat, kata Peguam Kanan Persekutuan
Amarjeet Singh.
Beliau pada Rabu berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.
"Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen
berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada
pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).
Anwar adalah anggota Parlimen Permatang Pauh.
Amarjeet Singh berkata
berikutan keputusan lembaga pengampunan itu, mahkamah telah menolak
permohonan Ketua Pembangkang itu untuk mendapatkan kebenaran semakan
kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang
melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar
dengan dihadiri Amarjeet Singh dan peguam Latheefa Koya yang mewakili
Anwar. — BERNAMA