LHDN Tawar Kurangkan Penalti Pembayar Cukai

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan pengurangan penalti ke atas pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan pada tahun-tahun sebelum jika membuat pengakuan secara sukarela kepada LHDN.

LHDN dalam satu kenyataan media memberitahu, pengurangan penalti turut ditawarkan kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan tetapi tidak melaporkan maklumat cukai pendapatan dengan betul.

“Tawaran ini dibuat sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap pembayar cukai yang turut terjejas dengan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu. 

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran ini, pembayar cukai boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar dalam kenyataan itu. 

LHDN berkata, penghapusan kenaikan cukai turut ditawarkan kepada pembayar cukai yang melunaskan amaun tunggakan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai pegangan sebelum atau pada 30 November 2015. 

“Tawaran ini akan bermula pada 1 Mei 2015 dan akan tamat pada 30 November 2015. Pertimbangan pengurangan penalti dan penghapusan kenaikan cukai ini tertakluk kepada merit sesuatu kes dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh LHDN,” kata kenyataan itu.