Loji Kering Padi Di Batas Paip Terbakar

Api marak membakar sebahagian loji pengering kilang padi.
ALOR SETAR - Bahagian loji pengeringan padi sebuah kilang memproses padi, di Batas Paip, Jalan Kuala Kedah, dekat sini, terbakar dalam kejadian awal pagi, semalam.
 
Dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 pagi itu, peralatan dan mesin pengeringan padi di loji berkenaan turut musnah.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7.37 pagi.
 
“Kami dapat mengawal kebakaran berkenaan lebih kurang 30 minit selepas tiba di lokasi kejadian.
 
“Kemusnahan bahagian loji pengeringan dianggarkan lebih kurang 80 peratus. Sehingga jam 2.37 petang, kami menunggu di lokasi kerana bimbang overhault,” katanya.
 
Mohd Jamalludin berkata, tiada sebarang mangsa ataupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
 
Katanya, seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja dan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar berusaha memadamkan kebakaran.
 
"Kami turut dibantu 104 anggota pasukan bomba sukarela (PBS) seperti, PBS Kuala Kedah, PBS Seberang Nyonya, PBS Tunjang, PBS Kilang Tebu dan PBS Taman Mutiara," katanya. -Sinar Harian