"Madah Politik Berhelah": Pemuda PAS Pulau Pinang Kecewa Sikap Beberapa Pemimpin PAS

PERMATANG PAUH - Pemuda PAS Pulau Pinang meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa pemimpin tertentu di dalam PAS yang dikatakan bijak mencatur helah permainan politik berhubung desakan akar umbi PAS di Permatang Pauh.

Bagaimanapun, Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah tidak menjelaskan nama beberapa pemimpin PAS yang dikatakan bijak bermain madah politik sehingga mengabaikan suara akar umbi yang mempertahan maruah parti di negeri itu.

"Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang turut melahiran kekecewaan atas sikap berdiam diri oleh AMK Pulau Pinang dan juga helah politik PKR dan beberapa pemimpin tertentu PAS dalam menguruskan desakan akar umbi PAS di Permatang Pauh," katanya dalam kenyataan tersebut.

Keengganan AMK Pulau Pinang untuk meminta maaf pada pihaknya turut menyebabkan pihaknya bertindak memboikot semua aktiviti kempen Pakatan Rakyat di Permatang Pauh setelah tempoh untuk berbuat demikian tamat pada 25 April lalu.

"Tempoh yang diberikan kepada pihak AMK Pulau Pinang sehingga hari penamaan calon, 25 April 2015 untuk menyatakana permohonan maaf telah tamat.

"Semua jentera dan petugas Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh," tegas Mohd Yusni mengumumkan pendirian Pemuda PAS di negeri itu.

Beliau turut menegaskan bahawa bilik-bilik gerakan atau mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda PAS di negeri itu tidak akan dibuka serta tidak dibenar untuk digunakan sepanjang kempen PRK berkenaan.

Selain itu, kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) yang sebelum ini terlibat dengan aktiviti konvoi anak muda, Jabatan Amal Negeri dan guru-guru PASTI juga "direhatkan" dari sebarang tugasan membabitkan PRK Permatang Pauh.

AMK Pulau Pinang sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan biadap dan memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta tindakan tersebut menyebabkan Pemuda PAS di negeri itu berang menuntut mereka meminta maaf segera pada PAS. - Kedahnews.com