ALOR SETAR - Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar seolah cuba menangguk di air yang keruh dengan melaga-lagakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Di sebalik isu kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib yang kian reda, Mahfuz seperti cuba menjadi "batu api" dengan menyalah tafsir kenyataan Muhyiddin terhadap mantan Perdana Menteri itu.
Kata Mahfuz, kenyataan Muhyiddin yang mengatakan Dr Mahathir tidak berjuang sendirian kononnya mempunyai persamaan dengan kenyataan negarawan ulung itu yang mempersoal Najib tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.
"Saya percaya apa yang Muhyiddin perkatakan itu mengikut kehendak rakyat dan bukannya desakan daripada mereka yang berkepentingan di dalam UMNO atau kerajaan.
"Muhyiddin turut mempunyai pendapat yang sama seperti Mahathir dalam mencari kebenaran, kenapa Najib perlu takut untuk tampil berdepan," kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Muhyiddin baru-baru ini dalam satu kenyataan memuji keberanian dan perjuangan Dr Mahathir dalam ketegasaannya menegakkan kebenaran dengan mengkritik keras kuasa-kuasa barat sehingga menyebabkan beliau tidak disenangi pihak-pihak tertentu.
Kata Muhyiddin, Dr Mahathir tidak keseorangan dalam perjuangan tersebut dan kenyataan beliau dipercayai tidak merujuk kepada kritikan mantan Perdana Menteri itu terhadap Najib.
Ia adalah berdasarkan kenyataan yang diucapkan Timbalan Perdana Menteri itu bersempena forum bertajuk "Engaging The Young To Criminalise War And Energise Peace" yang langsung tiada kena mengena dengan politik dalaman UMNO, baru-baru ini. -Kedahnews.com