Majalah TIME Iktiraf Tony Fernandes Antara Tokoh Perniagaan Paling Berpengaruh 2015

ALOR SETAR - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes tersenarai antara 100 individu paling berpengaruh oleh majalah Time bagi 2015.

Menurut ulasan majalah tersebut, Tony disifatkan sebagai pemimpin syarikat yang mampu mengendalikan situasi krisis seperti ketika tragedi pesawat QZ8501 baru-baru ini.

Tony dilihat berjaya mengemudi syarikat tersebut dengan baik dan mengembalikan semula kepercayaan pelanggan terhadap penerbangan mereka.

Bagi Tony, tersenarai dalam 100 Individu Paling Berpengaruh merupakan satu penghargaan yang sangat besar dalam kerjayanya kerana beliau sendiri tidak menyangka termasuk dalam senarai buat tahun ke-12 yang mengiktiraf aktivisme, inovasi dan pencapaian individu paling berpengaruh dunia.

“Ini adalah tahun mencabar tetapi keseluruhan karier saya adalah mengenai cabaran dan dengan setiap halangan, kami belajar dan menjadi lebih baik. Saya percaya kami mengorak langkah terus ke depan dan saya sangat teruja menghadapi masa akan datang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan bagi serata bisnes saya di AirAsia, Kumpulan Tune, QPR dan Caterham yang bersama saya menghadapi semuanya. Bersama sokongan dan kerja keras kami akan terus menerajui pasaran,” katanya.

Selain Tony syarikat penerbangannya AirAsia turut dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh World Airline Survey dari Skytrax bagi tempoh 6 tahun berturut-turut dari 2009 hingga 2014.

Individu lain yang turut tersenarai dalam 100 Individu Paling Berpengaruh Dunia Majalah Time adalah Ketua Eksekutif Apple Tim Cook dan selebriti Kim Kardashian serta suami, Kanye West. -Kedahnews.com

Sumber:  www.time.com.