"Majoriti Negara Islam Tidak Laksana Hudud" - Lim Kit Siang

ALOR SETAR –Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam agenda menarik sokongan rakyat untuk menolak hudud mendakwa bahawa majoriti negara Islam di dunia tidak melaksanakan hukum berkenaan di negara mereka.

“Majotiri negara Islam di dunia ini tidak melaksanakan hudud,” tegas Kit Siang yang juga merupakan bapa kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tegas Kit Siang, tiada satu pun daripada negara Islam berkenaan dianggap mana-mana pihak sebagai anti-Islam hanya kerana tidak melaksanakan undang-undang tersebut.

Justeru itu beliau menuduh bahawa rancangan PAS untuk membentang rang undang-undang hudud di parlimen hanyalah semata-mata bagi membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

“Majoriti negara Islam tidak melaksanakan hudud. Pastinya tiada sesiapapun mencadangkan bahawa kesemua negara Islam itu adalah anti-Islam.

“Rancangan kerajaan perpaduan menggunakan hudud secebis daripada usaha untuk menganggu PAS dan Pakatan Rakyat,” dakwanya dalam satu kenyataan semalam.

Kit Siang yang sejak dari dulu menentang hudud turut berhujah menggunakan nama Ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang didakwanya menyatakan masalah dalam hudud adalah kerana kesilapan melaksanakannya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa pihaknya menegaskan akan tetap membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Marang itu berkata, keputusan berkenaan adalah muktamad dan parti itu tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan termasuk dari parti sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat. -Kedahnews.com