KUALA LUMPUR – Usaha merakyatkan Asean bukanlah satu tugas mudah,
apatah lagi apabila sepanjang 48 tahun penubuhan, aktiviti persatuan itu
banyak bertumpu terhadap peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan dan
pembuat dasar.
Sebagai pengerusi Asean tahun ini Malaysia memegang tugas berat
mempromosi Asean kepada rakyat jelata atau rakyat ‘marhaen’, khususnya
masyarakat negara ini.
Persoalannya bagaimanakah Asean itu dapat dibawa dekat kepada rakyat?
Jawapannya mungkin terletak di perut. Atau lebih tepat lagi, makanan.
CITARASA YANG SAMA
Chef Wan Khairul Hakimin Wan Muhammad berkata, secara amnya masakan
Asia Tenggara mempunyai dua ciri utama iaitu rasa pedas dan manis.
Mengambil contoh hidangan yang menjadi identiti kepada beberapa
negara anggota Asean, seperti Indonesia dengan gado-gado, Malaysia (nasi
lemak), Thailand (tom yam), Brunei (ambuyat), Vietnam (spring roll),
Kemboja (amok), kesemua masakan tersebut mempunyai unsur sedikit pedas
atau dimakan dengan kuah yang pedas.
“Makanan di rantau ini (Asia Tenggara) mempunyai keunikannya yang
tersendiri. Jika dilihat sekali imbas, ada beberapa persamaan dalam
jenis makanan di beberapa negara dari sudut kemanisan dan kepedasan
makanan.
“Kedua-dua ciri yang saya sebutkan tadi mempunyai nilai tinggi dalam
masakan di rantau ini kerana lidah masyarakat kita seolah-olah sudah
diasah untuk menjamah makanan yang mempunyai rasa pedas atau manis,”
katanya kepada Bernama.
BERKONGSI HIDANGAN
Makanan antara negara-negara Khatulistiwa ini turut mempunyai
persamaan seperti pecal di Malaysia yang menyerupai gado-gado, manakala
amok turut terdapat di Thailand dan Laos namun dalam versi yang sedikit
berbeza.
“Masakan mereka menjadi berbeza kerana bahan-bahan yang terdapat di
negara mereka. Cuaca dan ekosistem yang tersendiri menyebabkan ada
antara masakan ini hanya memang terdapat di sana.
“Tetapi, jika kita mahu mencuba masih juga boleh, cuma akan terdapat
sedikit perbezaan dari segi rasa,” kata penulis blog kulinari
kuahkari.com itu.
Katanya penduduk Asia Tenggara juga berkongsi makanan ruji yang sama
iaitu nasi dan semua negara mempunyai resepi nasi goreng dan bubur nasi
tersendiri.
Sebagai contoh di Filipina, lebihan nasi daripada makan malam
biasanya digoreng dengan bawang putih untuk dimakan sebagai sarapan.
Hidangan ini dikenali sebagai sinangag.
GEMAR PADA YANG MANIS
Selain rasa pedas dan berempah, orang Asia Tenggara juga terkenal dengan ‘sweet tooth’ atau gemar kepada makanan manis.
Satu bahan yang sentiasa ada dalam resipi pencuci mulut dan kuih-muih negara di Asia Tenggara ialah pulut.
“Jika diperhatikan di Thailand, masakan manis seperti pulut mangga
sangat diminati. Malah, kita juga mempunyai variasi pulut manis sendiri
seperti kuih seri muka,” jelas Chef Khairul.
Pulut juga adalah bahan asas dalam pelbagai masakan Myanmar seperti
sihtamin; iaitu pulut yang dimasak dengan minyak dan kunyit seperti
pulut kuning Malaysia dan htamanè (pulut dimasak dengan kelapa goreng,
kacang tanah goreng dan halia).
Sementara itu di Vietnam, bubur pulut hitam adalah satu daripada
pencuci mulut yang diminati di sana sama seperti di Malaysia. Apa yang
membezakan hidangan antara kedua-dua negara ini ialah di Vietnam bubur
tersebut biasanya dinikmati bersama mangga manis, berbanding rakyat
Malaysia yang menggunakan santan pekat.
KENALI ASEAN MENERUSI MAKANAN
Bermula hujung tahun ini Asia Tenggara akan bertukar kepada zon pasaran dan perdagangan bebas dengan tertubuhnya Komuniti Asean.
Berasaskan tiga tonggak utama iaitu Komuniti Ekonomi Asean (AEC),
Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC) dan Komuniti Sosio-Budaya
Asean (ASCC), langkah penubuhan komuniti itu bertujuan untuk mengukuhkan
hubungan rakyat sesama negara anggota, selain membangunkan lagi ekonomi
serantau.
Sehubungan itu rakyat Asean, khususnya Malaysia, haruslah mengambil
peluang untuk lebih mengenali jiran-jiran mereka agar tidak menjadi
seperti katak di bawah tempurung.
Chef Khairul percaya makanan tradisional mampu menjadi tali
penghubung dalam menyemarakkan lagi semangat ukhuwah dalam kalangan
masyarakat berbilang bangsa, agama dan bahasa di rantau ini.
“Makanan akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hati
masyarakat. Sesuatu masyarakat itu juga dapat dikenali dengan lebih baik
menerusi makanan mereka,” kata pemilik Studio Abuain Kitchen itu
menutup bicara.
Oleh hal yang demikian, setelah mengetahui betapa banyaknya persamaan
makanan kita dengan makanan rakyat Asia Tenggara lain, tidakkah pembaca
ingin mengambil tahu lebih banyak lagi tentang Asean? Tepuk dada
tanyalah selera. – BERNAMA