KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan makanan
untuk mangsa bencana gempa bumi yang melanda Nepal Sabtu lepas, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Kabinet dalam masa
terdekat memandangkan jumlah mangsa semakin meningkat dan pelbagai
bantuan diperlukan terutamanya makanan.
“Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kabinet secepat mungkin. Kita
dimaklumkan mangsa yang terkorban juga meningkat,” katanya kepada
Bernama di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Bagaimanapun, Shahidan berkata arahan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang
terkandas di kawasan terjejas teruk akan diberi keutamaan.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggerakkan operasi
membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas setelah menerima arahan
daripada Perdana Menteri semalam.
Antara pasukan yang menyertai misi itu ialah SMART Team daripada MKN,
Persatuan Bulan Sabit Merah dan beberapa anggota MERCY Malaysia.
Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan
antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang
(waktu Malaysia). Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.
Tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun
itu setakat ini mencatatkan 3,218 kematian dan lebih 6,500 orang cedera.
– BERNAMA