KUALA TERENGGANU – Kerajaan sangat peka tentang soal akidah umat
Islam di negara ini kerana sebarang salah faham atau pegangan yang tidak
berlandaskan al-Quran dan hadis akan memberi kesan negatif, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja boleh membahayakan keselamatan negara malah kesejahteraan rakyat di negara ini.
Katanya oleh itu Malaysia perlu menjadi negara Ahli Sunnah Wal Jamaah
yang kuat dan bersandarkan kepada Mazhab Imam Syafie yang menjadi
pegangan selama ini agar pegangan akidah umat Islam tidak mudah diganggu
gugat mana-mana fahaman serong.
“Sebab itu, kita (kerajaan) tidak berkompromi dengan mana-mana ajaran
lain seperti Syiah, liberisme dan pluralisme agar rakyat beragama Islam
di negara ini tidak berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri,”
katanya pada majlis perasmian seminar Akidah dan Pemikiran Islam
peringkat kebangsaan di sini Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah
(Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Razali
Shahabudin.
Program anjuran Persatuan Mahasiswa Usuluddin dan Pusat Pengajian
Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pusat Pemantapan
Akidah Jakim, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Majlis Agama Islam dan
Adat Melayu Terengganu (Maidam) itu dihadiri 1,000 peserta terdiri
pelajar universiti dari seluruh negara, kakitangan kerajaan dan swasta
serta komuniti setempat.
Jamil Khir berkata sejak kebelakangan ini, terlalu banyak istilah
yang dicipta untuk merujuk kepada aliran pemikiran kontemporari seperti
modenis, fundamentalis, neomodenis, liberisme dan plurisme yang
dikhuatiri hanya akan menambah kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Aliran pemikiran ini ada yang positif dan ada juga yang bernada
negatif, malah ada yang terkeluar daripada tradisi Islam dan disebarkan
melalui media komunikasi seluruh dunia.
“Justeru, marilah kita bersama-sama untuk menyekat mana-mana fahaman
yang tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar akidah generasi
akan datang terus terpelihara,” katanya. – BERNAMA