Malaysia Sumbang US$300,000 Untuk Projek ‘STEM’ IBE

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan salinan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk Pendidikan Tinggi 2015-2025 kepada Pengarah International Bureau of Education (IBM-UNESCO), Mmantsetsa Marope di pejabat IBE di sini, Rabu. - Foto BERNAMA
GENEVA – Malaysia menyumbang sebanyak US$300,000 (kira-kira RM1.1 juta) kepada International Education Bureau (IBE) bagi inisiatif untuk memperkukuh kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi kanak-kanak perempuan di Afrika dan Asia Pasifik.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah IBE Mmantsetsa Marope semasa lawatannya ke pejabat biro itu di Geneva, Rabu.

IBE merupakan institut bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) khusus untuk kandungan pendidikan, kaedah dan struktur.

Semasa menyatakan penghargaan beliau, Dr Marope memuji Malaysia kerana sentiada berada di barisan hadapan dalam menggerakkan inisiatif di bawah UNESCO dan agensi-agensinya.

Projek 18 bulan itu melibatkan Kenya, Nigeria, Zimbabwe, Indonesia dan Malaysia sebagai perunding kandungan.

Bantuan pembiayaan itu dilakukan di bawah Program Kerjasama Malaysia-UNESCO:  Dana-Tabung Amanah Malaysia (MUCP-MFiT).

Muhyiddin berkata kelulusan itu berdasarkan kepada empat yang pertama, iaitu iaitu kelulusan pertama MUCP-MFiT melibatkan negara-negara Afrika; projek pertama MUCP-MFiT untuk IBE; projek pertama di bawah MUCP-MFiT melibatkan kurikulum menegak; dan projek pertama MUCP-MFiT tentang STEM.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, turut menyerahkan satu salinan pelan tindakan pendidikan Malaysia untuk pendidikan tinggi kepada pengharah IBE itu sebagai hadiah untuk organisasinya.

Dr Marope berkata pelan tindakan itu tidak seharusnya setakat sebagai hadiah kepada IBE tetapi juga untuk negara-negara anggota UNESCO yang lain.

” Mungkin akan ada cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam meningkatkan pendidikan Malaysia tetapi kami juga banyak yang boleh dipelajari daripada Malaysia,” katanya. – BERNAMA