Malaysia Teraju Kerangka Wawasan ASEAN Pasca 2015

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang meneraju proses merangka wawasan ASEAN pasca 2015 dalam usaha memantap dan memakmurkan komuniti ASEAN, kata Ketua Pengarah Seketariat Kebangsaan ASEAN Malaysia, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Katanya, selaku pengerusi ASEAN 2015, Malaysia diberi penghormatan oleh negara-negara ASEAN bagi mengetuai kerangka tersebut.

“Satu pasukan petugas peringkat tinggi yang dianggotai semua negara ASEAN telah ditubuhkan untuk membincang dan merangka dokumen pasca 2015 tersebut.

“Kita telah adakan tidak kurang dari tiga mesyuarat setakat ini dan ia akan diumumkan hujung tahun ini,” kata beliau kepada Bernama selepas ditemubual dalam program Dalam Radar Radio 24 di Wisma Bernama di sini.

Katanya, mesyuarat terakhir pasukan petugas tersebut telah diadakan di Jakarta, Indonesia.

Dokumen pasca 2015 ini merupakan kesinambungan daripada pelan Halatuju Komuniti ASEAN 2009-2015, yang bakal menjadi panduan bagi Komuniti ASEAN untuk terus berkembang dan makmur dengan berlandaskan semangat kekitaan sebagai satu komuniti.

Katanya, 85 peratus daripada lebih 600 garis tindakan di bawah Halatuju Komuniti ASEAN (2009-2015) telah berjaya dilaksanakan.

“Ini tidak bermakna selepas 2015, semuanya akan berjalan lancar, tidak. Tetapi yang lebih penting, kita kena ambil semangat ASEAN.

“Walau apa pun isu, kita mesti sentiasa duduk semeja sepakat untuk mencari penyelesaian. Kita mesti bersedia untuk tidak bersetuju dalam semangat Asean,” katanya.

Terdahulu dalam wawancara tersebut, Shahrul berkata kepengerusian Malaysia diiktiraf oleh negara-negara ASEAN yang lain berikutan rekod baik dan peranan aktif Malaysia dalam soal hubungan antarabangsa.

“Kalau kita tengok rekod, antaranya kita pernah menjadi Ahli Tidak Tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selama tiga kali sebelum ini.

“Perkara-perkara ini memberikan kita satu kedudukan tinggi dalam areana antarabangsa. Mereka memandang kita dengan penuh harapan,” katanya. – BERNAMA