Mangsa Gempa Di Nepal Terpaksa Minum Air Kencing Untuk Selamatkan Diri

Salah seorang mangsa yang terselamat dari bencana gempa bumi yang melanda Nepal pada Sabtu lalu mendedahkan bahawa dia terpaksa minum air kencingnya sendiri bagi menyelamatkan diri dari maut.

Menurut Rishi Khanal, dia hanya minum air kencing sebagai ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan nyawa setelah selama tiga hari terperangkap di sebalik runtuhan tersebut.

Menceritakan detik-detik cemas yang menggemparkan dunia itu,  Rishi menjelaskan bahawa dia sedang berada di aras dua bangunan hotel tujuh tingkat sebelum gempa bermagnitud 7.8 melanda kawasan tersebut.

“Pada mulanya saya rasa peluang untuk hidup ada, tapi semalam saya dah mula berputus asa,” ujarnya selepas berjaya diselamatkan oleh pekerja pasukan mencari dan menyelamat dari Nepal dan Perancis.

Sebaik diselamatkan, Rishi melahirkan rasa kesyukuran kerana berjaya menyelamatkan diri selepas terperangkap lebih daripada 82 jam bersama mayat-mayat yang sudah mula mereput. -Kedahnews.com