Mat Sabu Cuba Pertahan PasMa?

ALOR SETAR - Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu seolah mempertahan tindakan segelintir ahli parti menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) meskipun mendapat tentangan daripada kepimpinan tertinggi PAS Pusat., khususnya golongan ulama parti itu.

Mohamad Sabu melihat penubuhan PasMa bukanlah satu ancaman besar untuk mengugat kedudukan PAS memandangkan ahli pertubuhan terbabit terdiri dikalangan ahli parti itu sendiri.

Beliau berkata, walaupun wujud perbezaan pendapat di antara PAS dan PasMa namun ia dianggap sebagai satu perpecahan kecil tanpa memberi kesan terhadap parti berkenaan.

“Dalam sejarah perjuangan PAS, ini hanyalah perpecahan kecil. Cuma saya nasihatkan kepada generasi muda supaya jangan panik dan bimbang.

“Kalau nak dibandingkan perpecahan paling besar yang pernah berlaku adalah pada tahun 1978 apabila tertubuhnya sebuah parti serpihan PAS iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Dalam situasi sekarang, perpecahan yang berlaku hanya melibatkan seorang bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah dan Adun Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi sebagai Presiden PasMa," katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Padang Terap kali ke-40 di Kompleks PAS Kawasan, Kampung Barokas.

PasMa sebelum ini berura-ura untuk bertukar menjadi sebuah parti politik pembangkang ekoran dakwaan Phahrolrazi yang mengatakan ramai pihak mahu pihaknya bertindak sebagai sebuah parti di negara ini berbanding berstatus sebuah NGO.

Menurut beliau, berdasarkan sejarah pepecahan terbesar yang berlaku di dalam PAS terjadi ketika parti berkenaan mengambil keputusan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973.

 Namun begitu,  situasi terbabit dapat diselesaikan pada tahun 1977 apabila PAS mula menyedari berlaku penyalahgunaan kuasa di antara seorang pemimpin parti dan UMNO sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kerjasama tersebut.

“Sejarah perpecahan PAS agak besar apabila PAS mengambil keputusan menyertai BN melalui Muktamar PAS pada tahun 1973.

“Dari sudut organisasi jemaah, penyertaan PAS dalam BN adalah sah kerana ia melalui keputusan majoriti muktamar PAS.

“Selepas kejadian itu, PAS menonjolkan pula kepimpinan ulama melalui Muktamar Pemuda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 1982 dan muktamar menerima usul tersebut,” katanya lagi. - Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor