Memalukan! Lima Artis Lelaki Jadi "Anak Ikan" Datin VVIP Dalam "Radar" Polis

Alor Setar - Hanya kerana ingin hidup mewah menggunakan jalan pintas, segelintir selebriti lelaki dikatakan begitu tegar tergamak menjadi ‘anak ikan’ atau lelaki peneman kepada golongan ‘mak datin’ dan VVIP.

Lebih menyedihkan, golongan artis terbabit yang dikatakan terlibat dengan gejala itu merupakan mereka yang ‘ada tak ada’ atau hanyalah 'artis suam-suam kuku' sahaja dalam industri seni tempatan.

Menurut laporan Metro Ahad hari ini, sekurang-kurangnya lima selebriti tanahair dikatakan berada dalam pemantauan pihak berkuasa ketika ini.

Hasil keringat sebagai ‘anak ikan’, ada antara mereka mampu memandu kenderaan mewah walaupun tidak menerima tawaran secara konsisten dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.

Menurut laporan itu, individu terbabit bukan sahaja sudi menjadi peneman golongan VVIP ke pusat hiburan, malah turut menjadi pemuas nafsu dengan bayaran sehingga RM5,000 serta tajaan-tajaan mewah lain.

Memetik kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik, pihaknya kini sedang membuat pemerhatian terhadap beberapa artis tanahair yang dipercayai terlibat dalam isu ini.

“Mereka (artis) jangan ingat kerana populariti boleh terlepas. Saya tegaskan supaya mereka semua bertaubat dan hentikan kerja terkutuk itu.

“Jika tidak, mereka (selebriti) akan diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Melalui maklumat hasil risikan pihak berkuasa, kebanyakan individu yang terlibat dengan aktiviti memalukan itu adalah pendatang baru dalam industri hiburan tempatan. -Kedahnews.com