Mengimarahkan Islam Di Bumi Andalusia Moden

ISLAM bukan hanya pernah bertapak kukuh di bumi Andalusia atau Sepanyol, malah telah berjaya membina kegemilangan ilmu yang menakjubkan sehingga hari ini. Selain itu, ia juga pernah menjadi agama paling berpengaruh dari 711 Masihi hingga 1492 Masihi iaitu sebelum kota terakhir kerajaan Islam Andalusia, Granada jatuh ke tangan tentera Kristian.

Dengan kejatuhan kota itu, umat Islam diberikan dua pilihan iaitu memeluk Kristian atau meninggalkan Sepanyol. Pada 1609 Masihi, dikatakan tidak ada lagi umat Islam di negara itu.

Namun, era kekalahan Islam itu sudah berakhir. Penghijrahan atas tuntutan rezeki dan konflik berterusan di negara-negara Afrika Utara dan Arab menjadikan jumlah umat Islam di Sepanyol hari ini mencecah dua juta orang.

Lebih menarik lagi, jumlah tersebut bukan lagi didominasikan oleh warga berstatus imigran tetapi kalangan yang bertaraf warganegara yang dijamin haknya di sisi perlembagaan negara sekular itu.

Begitu pun, ia bukan bermakna Islam mudah berkembang di negara itu. Dasar sekularisme yang diamalkan oleh pemerintah sering kali membataskan atau melambatkan perkembangan agama Islam.

Ini diakui Naib Presiden Yayasan Mezquita De Sevilla, Ibrahim Hernandez. Beliau menyatakan setakat ini, hanya ada enam buah masjid di seluruh Sepanyol.

“Tiga buah di Malaga dan masing-masing sebuah di Madrid, Valencia dan Granada,” katanya ketika ditemui di pejabat Ukhwah For Ukhwah (U4U) di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir Presiden UKU, Mohd. Sharudin Dawam.

Ibrahim bersama tiga lagi rakannya berkunjung ke Malaysia bagi mengumpul dana untuk membina sebuah pusat Islam di pusat bandar raya Sevilla dan kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama UKU.

Bagi sesiapa yang berminat menderma, untuk keterangan lanjut boleh menghubungi UKU di talian 03-61871611.

Kempen yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM62 juta (16 juta Euro) itu akan turut menjelajah negara Islam lain.

Kos itu sejajar dengan pelan pusat Islam itu bukan hanya merangkumi dewan solat yang boleh memuatkan jemaah lebih kurang 700 orang dalam satu-satu masa. Namun, ia turut mempunyai kelas-kelas pengajian agama dan dewan serbaguna serta lot-lot komersial.

Jalan penyelesaian

Ibrahim menjelaskan, pembinaan pusat Islam itu penting bagi menyelesaikan isu yang melingkari umat Islam di sana sejak beberapa dekad lalu dan antaranya adalah solat Jumaat, solat sunat tarawih dan solat sunat hari raya yang kini begitu kritikal hari ini.

Tidak dinafikan sekitar Sevilla ada banyak surau yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat tetapi keluasannya amat terbatas sehingga ada ketikanya solat fardu itu terpaksa dilakukan tiga kali atau lebih.


“Sepanyol bukan seperti Malaysia. Di sana, kami tidak boleh solat di ruang pejalan kaki atau jalan raya kalau ruang solat surau sudah penuh. Masalah sama wujud ketika mendirikan solat hari raya.

“Di Malaysia, tempoh masa untuk solat Jumaat agak panjang tetapi tidak di Sepanyol,” katanya.

Ibrahim juga menjangkakan masalah itu akan menjadi bertambah rumit berikutan pertambahan jumlah umat Islam di Sevilla yang kini berjumlah 25,000 orang.

Beliau percaya dengan adanya pusat Islam itu tekanan kepada surau sekitar Sevilla itu dapat dikurangkan, khususnya untuk solat Jumaat, sunat Terawih dan solat hari raya.

Malah, ia juga membolehkan usaha merancakkan aktiviti keagamaan dan ekonomi untuk umat Islam dapat dilakukan dengan lebih teratur.

“Kami tidak mahu generasi muda Islam malu dan solat di ruang yang sempit itu. Kami mahu mereka bangga dengan agama yang mereka anuti,” katanya.


Ibrahim memberitahu, pihaknya pernah membuat permohonan kepada majlis perbandaran Sevilla untuk mengambil alih mana-mana gereja yang tidak lagi berfungsi bagi dijadikan masjid atau pusat Islam pada 2003, tetapi ditolak.

“Malah pada 2005, kami juga pernah dikurniakan sebidang tanah awam di pinggir pusat bandar Sevilla untuk didirikan pusat Islam atau masjid, namun ia ditarik balik pada 2007 kerana ada bantahan daripada penduduk sekitar.

“Alasan mereka ia adalah sesuatu tindakan yang tidak adil untuk memberikan tanah itu kepada komuniti Muslim, sedangkan ia boleh didirikan sekolah atau taman awam yang boleh digunakan oleh penduduk tempatan tanpa mengira pegangan agama,” katanya. -Utusan