ALOR SETAR - Pihak di dalam PAS yang bercanggah pendapat dengan Dewan Ulama PAS Pusat dikatakan tidak boleh dilabel sebagai golongan profesional.
Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat, Nasrudin Hassan
berkata, golongan itu sebenarnya pendokong pemikiran asing yang
bertentangan dengan manhaj perjuangan Islam.
“Pertembungan yang berlaku bukan pertembungan antara ulama dan
profesional sebaliknya pertembungan yang wujud daripada aliran pemikiran
yang bertentangan prinsip dengan keabsahan manhaj PAS.
“Jangan benarkan parti diresapi pemikiran yang asing dan
bertentangan. Pemikiran itu bagaikan virus yang boleh melumpuhkan jamaah
dan memusnahkan identiti perjuangan PAS,” tegasnya dalam satu kenyataan
hari ini.
Justeru, Nasrudin meminta ahli PAS menamatkan teori pertembungan
ulama dan profesional dalam parti dan bangkit mepertahankan dasar,
prinsip, agenda perjuangan dan pemikiran Islam yang tulen daripada
anasir yang merosakkannya.
“Wujudnya mereka yang tiada disiplin berjamaah, mengkhianati jamaah
dengan membocorkan rahsia, menikam kepimpinan sendiri dari belakang,
melunturkan nilai taat dan walak kepada jamaah dan sebagainya,” katanya. -Kedahnews.com