Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem |
KUCHING – Rakyat di negeri ini tidak sepatutnya terpengaruh dengan
‘Impian Sarawak’ yang dibawa parti pembangkang DAP, kata Ketua Menteri
Tan Sri Adenan Satem.
Beliau berkata DAP hanya melaksanakan beberapa projek namun pemimpin mereka sering mengheboh-hebohkan perkara berkenaan.
“Mereka umpama seperti ayam yang bertelur sebiji, namun riuh
sekampung,” katanya ketika melancarkan pelaksanaan projek naik taraf
jalan dari bulatan Matang E-Mart ke Stapok dan Batu Kawa di sini dengan
kos sebanyak RM 145 juta.
DAP negeri mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikan
hak asasi rakyat luar bandar dan gagal untuk menyediakan infrastruktur
asas kepada mereka dan mahu membetulkan kepincangan tersebut melalui
konsep ‘Impian Sarawak’.
Adenan berkata, hanya kerajaan jua, akhirnya mampu untuk melaksanakan
projek yang besar, kekal dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sudah pastinya kami tidak menabur janji semata-mata. Kami tidak
percaya hanya semata-mata bercakap atau mengkritik,” katanya menambah
bahawa kerajaan persekutuan membiayai projek berkenaan untuk menaik
taraf jalan sedia ada kepada laluan empat lorong sepanjang 4.4 kilometer
untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
Kita juga berharap rakyat akan membalasnya apabila kerajaan memerlukan bantuan mereka semasa pilihan raya umum,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata projek naik taraf itu dijadual siap pada Oktober, 2017.
“Projek ini dan banyak lagi projek seperti kerja naik taraf Lebuhraya
Pan Borneo akan menjadikan hubungan dan kerjasama sangat rapat antara
kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.- BERNAMA