MESTI BACA: Hukum Abai Zakat, Tunggulah Belitan Ular Jantan!


ADA orang kaya yang enggan mengeluarkan zakat dan mereka tetap enggan walaupun telah diberikan nasihat. Maka, apakah caranya untuk melentur hati mereka agar tunduk dan patuh kepada perintah dan hukum zakat ini? Mohon perkongsian dengan ustaz, terima kasih.

JAWAPAN

Terima kasih kembali kerana sudi membawakan pertanyaan seperti ini. Sesungguhnya tidak dapat dinafikan, memang sepanjang zaman ada sahaja manusia yang diberikan kekayaan oleh Allah SWT tetapi mereka sebaliknya lupa daratan dan menjadi manusia pengingkar perintah Tuhan.

Jika dirujuk pada zaman dahulu, Qarun misalnya yang hidup pada zaman Nabi Musa as, pernah menjadi manusia kaya raya yang mengingkari perintah Allah SWT. Apabila dia diperintahkan untuk memberikan sebahagian kecil hartanya sebagai sedekah atau zakat kepada kaumnya yang memerlukan, Qarun malah menolak arahan tersebut dengan keangkuhan.

Qarun berkata dengan sombong: 
(Sesungguhnya) aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (al-Qasas: 78)
Harus diingat, pada zaman dahulu Allah SWT tidak menangguhkan penyeksaan bagi kalangan yang zalim dan mendustakan agama. Sekelip mata sahaja, Allah SWT menghukum Qarun, dia mati dibenam ke dalam perut bumi bersama harta kekayaannya:
Lalu Kami (Allah) timbuskan dia bersama-sama dengan istananya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (al-Qasas: 81)
Hal seperti ini tidak berlaku bagi umat Islam akhir zaman. Atas belas ihsan Allah SWT, jarang yang dihukum di dunia melainkan Allah SWT menangguhkan pembalasan itu hingga tibanya hari pembalasan nanti (selepas kiamat). Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah menangguhkan (azab) kepada orang zalim. Maka bila Dia mengazabnya, maka Dia tidak akan melepaskannya.” (riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sebab itulah, ada orang yang terus lalai dengan nikmat ini, sehingga mereka alpa dan berterusan melakukan dosa. Walhal Allah SWT mengingatkan:
Dan janganlah sekali-kali kamu mengira, bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak. (Ibrahim: 42)
Maka, atas jalan menyedarkan manusia agar tidak kekal berdosa, al-Quran dan hadis banyak sekali memaparkan perihal hukuman dan seksaan bagi kalangan yang ingkar dan pendosa di dunia, termasuklah mereka yang melalaikan kewajipan zakat dalam kehidupannya. Mungkin sekiranya kita memberikan amaran seperti ini, akan timbul ketakutan di hati mereka yang selama ini lalai dalam agamanya.

Misalnya, Allah SWT menyatakan:
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah (enggan berzakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (at-Taubah: 34-35)
Pada juzuk yang lain Allah SWT mengingatkan lagi dengan firman-Nya:
Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Ali Imran: 180)
Belitan ular jantan

Sementara itu, dalam hadis-hadis, Nabi Muhammad SAW menyatakan:
Siapa yang dikurniakan oleh Allah kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat ia akan didatangi seekor ular jantan gondol (yang botak), yang sangat berbisa dan sangat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya, lalu melilit dan mematuk lehernya sambil berteriak (kepadanya): Aku adalah kekayaanmu, aku adalah perhiasanmu, yang kamu simpankan dahulu. Lalu Nabi SAW membaca ayat al-Quran, daripada surah Ali Imran, ayat 180 di atas. (riwayat Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

Imam Muslim pula menyatakan di dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a:
Tidak seorang pun pemilik unta, pemilik lembu atau pemilik kambing yang tidak membayar haknya (zakat), melainkan nanti di hari kiamat dia (akan) dibaringkan pada suatu tanah datar, lalu diinjak-injak oleh ternak dengan kukunya dan ditanduk dengan tanduknya.
Sebenarnya, masih ada lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang memperingatkan manusia tentang akibat di akhirat jika manusia mengabaikan zakat. Hanya tinggal lagi, sejauh manakah kita sebagai manusia yang berusaha untuk menggali dan mengambil pengajaran yang hakiki daripadanya.

Ibarat kata pepatah, masakan sagu bisa dimakan, jika ruyung tidak dipecahkan. Kitalah yang wajib membaca dan memahami amaran Allah SWT dan Rasulullah SAW itu.

Taubatlah penzalim

BAGAIMANAPUN, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan semua pembaca budiman, seandainya kita mengetahui ada dalam kalangan kaum kerabat, sahabat handai dan jiran taulan kita yang dengan sengaja mengabaikan kewajipan zakat, agar menasihati mereka supaya bertaubat dan segera menunaikan zakat. Ini kerana, kita sama sekali ditegah daripada mendiamkan diri apabila mengetahui sesuatu kemungkaran berlaku tanpa ada usaha mencegahnya.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan, yang mana mafhumnya, hendaklah kita berusaha mencegah kemungkaran, sama ada dengan tangan (kekuasaan), lisan (nasihat peringatan) mahu pun hati, mengikut kadar kemampuan iman kita. (riwayat Imam Muslim)

Ini kerana, andai kita membiarkan orang yang zalim terus berlaku zalim di atas dunia ini, maka khuatir kelak apabila Allah SWT menurunkan azabnya walaupun sedikit, maka kita dan orang-orang yang tidak berdosa juga turut menerima tempiasnya.

Nabi Muhammad SAW membuat perumpamaan, andai perbuatan jahat tidak dicegah maka samalah seperti dua kelompok manusia di dalam sebuah kapal. Apabila golongan di perut kapal mahu mengambil air, maka mereka pun mahu menebuk lubang di bawah kapal agar mudah mendapat air. Jika golongan di atas tidak mencegahnya, maka semuanya akan mati kelemasan (rujuk riwayat Imam Bukhari)

Sesungguhnya, bunga-bunga azab yang bakal ditimpakan di dunia jika orang-orang sudah mulai meninggalkan kewajipan zakat, disebutkan di dalam hadis, antaranya:
“Golongan yang tidak mengeluarkan zakat, akan Allah timpakan kepada mereka kelaparan dan kemarau panjang.” (riwayat Imam at-Thabrani)
Sementara di kesempatan lain Nabi SAW menyatakan:
“Bila mereka tidak mengeluarkan zakat, bererti mereka menghambat hujan turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan.” (riwayat Ibnu Majah dan Imam Baihaqi)
Berilah peringatan seperti ini kepada mereka, moga-moga timbul ketakutan di hati mereka dan menundukkan diri mereka dan juga kita kepada hukum-hakam Allah SWT, Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Wallahua’lam.

Sumber: Utusan