KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini
melancarkan aplikasi MeterOn dalam usaha meningkatkan standard
perkhidmatan teksi.
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata aplikasi itu yang
beroperasi menerusi Android dan iPhone, menawarkan kepada pelanggan
platform lebih efisien untuk membuat aduan terhadap pemandu teksi tidak
beretika.
“Penggunaan aplikasi ini bukan untuk menghukum pemandu teksi tetapi
lebih kepada memberi perkhidmatan lebih baik, untuk memenuhi kehendak
pelanggan dan membuatkan mereka rasa lebih selamat dalam perjalanan
mereka,” katanya dalam taklimat media tentang aplikasi MeterOn sebelum
melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.
Beliau berkata MeterOn meliputi lebih 50,000 teksi berlesen di Semenanjung Malaysia.
Dalam taklimat itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan SPAD, Zachary Ismail
Zee Ismail menjelaskan aplikasi itu dilengkapi enam ciri utama iaitu
pengesahan pemandu, alat menjejaki perjalanan, anggaran tambang,
penilaian pemandu, amaran SOS dan maklum balas atau laporan.
Beliau berkata ciri pengesahan pemandu akan membolehkan pelanggan
untuk mengesahkan identiti pemandu dengan memasukkan nombor pendaftaran
teksi dan sekiranya teksi berdaftar, pengguna boleh mendapatkan maklumat
terperinci diri pemandu termasuk kesalahan dilakukan mereka di bawah
Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Sekiranya teksi itu dipandu individu tidak tersenarai dalam daftar,
pelanggan patut melaporkan perkara itu serta merta,” katanya.
Zachary Ismail berkata fungsi alat menjejaki perjalanan akan membantu
pelanggan untuk mengetahui laluan perjalanan mereka dan berkongsi
lokasi dengan rakan dan keluarga sehingga mereka selamat tiba di
destinasi.
Mereka juga boleh mendapatkan anggaran tambang bagi perjalanan dengan
memasukkan tempat mereka menaiki teksi dan destinasi, dan menurutnya
anggaran tambang akan berdasarkan penggunaan meter dan kemudahan itu
terdapat pada teksi bajet, TEKSI 1Malaysia, teksi premier dan eksekutif
serta kereta sewa.
Dalam kes kecemasan, ciri amaran SOS akan membolehkan pengguna
menghantar mesej tentang maklumat teksi, pemandu, lokasi semasa dan
destinasi kepada pihak tertentu yang boleh disimpan dalam aplikasi itu
atau membuat panggilan kecemasan kepada SPAD atau polis, katanya.
Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh membuat aduan kepada SPAD
sekiranya perkhidmatan teksi tidak memuaskan, kata Zachary Ismail, dan
menurutnya aplikasi itu sebagai pelengkap kepada saluran aduan sedia ada
SPAD termasuk Twitter, SPAD hotline, e-mel dan SMS.
Katanya ciri penilaian pemandu akan membolehkan pelanggan menilai
pemandu pada skala satu hingga lima, dan pada masa sama membantu SPAD
menghapuskan pemandu tidak bertanggungjawab dan memberi ganjaran kepada
pemandu beretika.
“Pelanggan yang memuat turun aplikasi MeterOn digalakkan mendaftarkan
akaun mereka, untuk membantu suruhanjaya memperoses aduan dan maklum
balas dengan lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha
Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) Mohd Syahrir Abdul Aziz
menyambut baik pengenalan aplikasi itu dan akan memaklumkan secara
terperinci tentangnya kepada seluruh persatuan untuk sama-sama
memperbaiki perkhidmatan.
Naib Presiden Satu Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi
Semenanjung Malaysia (Gabungan) Datuk Aslah Abdullah pula berkata antara
ciri aplikasi yang bagus pada MeterOn ialah penilaian kepada pemandu.
“Ini kerana penilaian yang paling baik adalah daripada penumpang
teksi sendiri kerana mereka yang menggunakan perkhidmatan kita,”
katanya. – BERNAMA