GEORGETOWN – Gara-gara memiliki 4,400 batang rokok seludup pelbagai
jenama bernilai RM344, seorang jurujual kedai runcit hari ini didenda
RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Sharifah Izura Syed Mashor menjatuhkan hukuman denda itu
terhadap Muhammad Ridzuan Jamal Mohammed, 27, selepas dia mengaku
bersalah terhadap pertuduhan itu.
Sharifah Izura turut memerintahkan Muhammad Ridzuan dikenakan hukuman
penjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Ridzuan didakwa memiliki barang-barang
larangan import itu di sebuah kedai runcit di Gat Maccalum dekat sini
pada pukul 10 pagi, 31 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(iii) akta yang sama yang membawa
hukuman denda maksimum RM6,880 atau penjara maksimum tujuh tahun atau
kedua-duanya.
Terdahulu peguam Cheah Eng Soon yang mewakili Muhammad Ridzuan
memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan
tertuduh hanya mempunyai pendapatan RM40 sehari dan perlu menyara kedua
ibu bapanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia , Muhd Ridhauddin Jamaludin. – BERNAMA