PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan
perang habis-habisan terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS), dengan
menangani isu salah faham mengenai jihad.
Seiring dengan langkah kerajaan untuk memupuk anti keganasan di
sekolah dan universiti, Jakim menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak
Penjelasan Konsep Jihad.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, jawatankuasa itu
diwujudkan dengan pelan tindakan bagi memperjelaskan tentang salah
faham mengenai jihad ekoran analisis dan siasatan polisa menunjukkan
kumpulan militan IS menyasarkan golongan muda untuk menyebabkan fahaman
jihad mereka.
Mendekati golongan beliau menerusi media sosial, IS menawarkan
ganjaran dan jaminan ditempatkan di syurga sekiranya mereka menyertai
kumpulan militan tersebut bagi memperjuangkan jihad yang kononnya
dikatakan menentang “musuh-musuh Islam”.
“Kita juga cuba untuk mendekati golongan muda menerusi program takmir
dan dakwah di surau dan masjid,” kata Othman dalam satu temuramah.
Langkah pertama Jakim adalah menggunakan pendekatan di kolej dan
universiti seluruh negara di mana ia berharap untuk mengenal pasti
pemimpin pelajar Islam bagi membantu menyebarkan makna sebenar mengenai
jihad menerusi pelbagai aktiviti anti keganasan di kampus.
“Mempunyai kebebasan akses terhadap maklumat diikuti dengan emosi
mereka merupakan antara sebab pelajar mudah terpengaruh dengan fahaman
militan, jadi kita berusaha untuk memberi penjelasan mengenai makna
sebenar jihad kepada mereka,” katanya.
Beliau turut memberitahu Jakim melancarkan kempen #Mahasiswa Islam
Tolak Keganasan di Konvensyen Pemimpin Islam Nasional 2015 di Insititut
Latihan Islam di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Othman menafikan kritikan bahawa penguatkuasa Islam mendiamkan diri
terhadap ancaman IS, dengan memperjelaskan bahawa Jakim berusaha untuk
mengangani isu salah faham tentang IS dan Jihad di kalangan belia Islam
menerusi media arus perdana dan bacaan khutbah Jumaat.
Tambahnya, Jakim sedang memantapkan programnya secara kerjasama
melalui National Blue Ocean Strategy (NBOS) supaya pelaksanaannya lebih
tersusun dan menyeluruh.
Jawatankuasa Bertindak Penjelasan Konsep Jihad telah dibentuk oleh
Jakim terdiri daripada enam agensi antaranya Bahagian Keselamatan dan
Ketenteraan Awam Kementerian Dalam Negeri, Majlis keselamatan Negara
(MKN) Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM), Al-Hijrah Media Corporation dan Institut Kajian
Strategik Islam Malaysia (IKSIM) disamping kerjasama strategik dengan
pihak Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).
Othman yang bersetuju dengan kenyataan Kementerian Dalam Negeri
bahawa hanya 5 peratus daripada 75 orang yang ditahan kerana terlibat
dengan kumpulan pengganas itu didapati mempunyai latar belakang
pendidikan agama, berkata penyebaran keganasan di sekolah-sekolah agama
merupakan satu tindakan yang melampau oleh pihak ekstremis.
“Institusi pendidikan Islam di Malaysia telah melahirkan ramai tokoh
intelektual yang menyumbangkan kepada pembangunan dan kemakmuran
negara,” katanya.
Bagaimanapun, Jakim berkata, ia akan menubuhkan satu perkongsian
strategik dengan Jain bagi memantau semua sekolah agama, pendidikan
agama di masjid dan ceramah agama.
“Menerusi kerjasama ini, kita akan memperjelaskan mengenai salah faham tentang jihad dan ekstremisme,” katanya.
Mengenai ‘perang’ secara dalam talian, Jakim akan bekerjasama dengan Suruhanajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Othman berkata, jabatan itu menyedari tentang media baharu, dengan
keupayaannya untuk menyebarkan maklumat dengan pantas tanpa kawalan,
membolehkan pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman dan pemikiran
mereka bagi mengelirukan rakyat, termasuk mengenai isu jihad.
“Golongan belia yang paling mudah terpengaruh kerana mereka merupakan pengguna paling ramai dalam media dan teknologi baharu.
“Mereka mudah terdedah dan boleh dipengaruhi oleh fahaman ekstremis,
dan sekiranya tiada usaha untuk menghentikan wabak ini, ia akan menjadi
satu penyakit yang boleh memberi kesan kepada keharmonian dan
keselamatan negara berbilang kaum,” tambahnya. - mStar