Mohon Waris Bayi Ter buangDi Sungai Petani Beri Maklumat

Kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda menguruskan proses keluar wad sebelum bayi perempuan terbabit dihantar ke Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, semalam.
SUNGAI PETANI – Penemuan bayi perempuan dekat Kampung Gon Selong, di sini, pada 17 April lalu menjadikan ia kes kedua berlaku dalam tempoh sebulan di daerah ini sebelum seorang bayi lelaki ditemui di Merbok 20 Mac lalu.

Bayi perempuan yang cukup sifat dipercayai baru dilahirkan itu dibuang dekat dengan rumah penduduk kampung, kini dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Faezah Nadiah Md Sairy berkata, bayi itu kini dianggarkan berusia 11 hari dilaporkan sihat dan akan ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Pulau Pinang.

Menurutnya, bayi itu kini berada bawah jagaan sementara mengikut Seksyen 19 Akta Kanak-kanak 2001 (Perintah Jagaan Sementara).

“Bagaimanapun, pihak kami perlukan maklumat kelahiran yang lengkap bagi menjalankan proses pendaftaran sekali gus melancarkan tindakan seterusnya.

“Disebabkan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat memerlukan waris mangsa bagi memudahkan proses terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, orang ramai atau keluarga terdekat yang mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi Faezah Nadiah di Pejabat Kebajikan Masyarakat di talian 04-420 4410 untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, sehubungan dengan itu, sesiapa yang berminat untuk menjadikan bayi perempuan tersebut sebagai anak angkat, boleh hadir ke pejabat bagi membuat permohonan mendapatkan anak terpelihara.

Dalam perkembangan sama, bayi terbabit yang ditemui orang ramai 17 April lalu ditinggalkan di kampung tersebut dengan keadaan tidak berbaju, namun seluar serta napkin yang digunakan dipenuhi kesan darah.

Bayi seberat 2.88 kilogram berkenaan kemudian dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Akhbar sebelum ini turut digemparkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di luar rumah seorang penduduk dekat Kampung Merbok 20 Mac lalu sekitar jam 5.45 pagi.

Turut ditinggalkan bersama bayi terbabit dalam sebuah kotak yang lengkap berkelambu, lampin pakai buang dan botol susu.

Penduduk yang terkejut dengan penemuan itu kemudian membuat laporan polis sebelum bayi tersebut dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.