MP DAP Pertahan Caj Cukai Perkhidmatan 10% Pada Rakyat?

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mempertahankan tindakan banyak restoran dan hotel mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan bagi menggantikan konsep memberi tip.

Dakwanya, kerajaan tidak wajar menyalahkan premis yang sudah lama mengenakan caj perkhidmatan itu sambil menuduh ia dibangkitkan untuk mengalih perhatian daripada isu cukan barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau turut mendakwa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan atau Akta Perlindungan Pengguna juga tidak boleh mengambil tindakan ke atas perkara itu.

“Saya bagaimanapun bersetuju dengan cadangan supaya premis yang mengenakan caj perkhidmatan mempamerkan notis bahawa mereka berbuat demikian.

“Pokoknya kerajaan sewajarnya memikirkan cara untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pengguna pasca pelaksanaan GST dan bukannya baru hendak kecoh-kecoh tentang caj perkhidmatan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad memaklumkan caj perkhidmatan yang diamalkan kebanyakan restoran dan hotel di negara ini bagi menggantikan konsep memberi tip tidak lagi relevan.

Beliau menjelaskan caj perkhidmatan bukan sesuatu yang wajib dikenakan pengusaha hotel dan restoran dengan mengambil contoh Carlton Holiday Hotel, Shah Alam yang tidak mengenakan caj berkenaan kepada pelanggan mereka.

Alias turut menjelaskan, kutipan caj perkhidmatan itu juga berkemungkinan tidak disalurkan kepada pekerja.