Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin |
JAKARTA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta Tun Dr Mahathir
Mohamad supaya memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat kerja dengan caranya tersendiri
demi kepentingan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mungkin tidak semestinya setiap
perkara yang dibuat oleh kerajaan hari ini dipersetujui oleh Dr Mahathir
yang juga bekas perdana menteri dan begitu juga semasa kepimpinannya,
ada juga keputusan yang dibuatnya tidak dipersetujui semua orang.
“Ada pandangan berbeza, tetapi biarlah pimpinan kerajaan hari ini
cuba laksanakan perkara yang kita fikir beri impak kepada pembangunan
sosioekonomi rakyat menerusi program transformasi, rasionalisasi
subsidi, bantuan rakyat dalam bentuk BR1M dan sebagainya, ada impaknya
walaupun Tun tidak begitu bersetuju dengan perkara begitu,” katanya
kepada pemberita di sini.
Timbalan Perdana Menteri berada di Jakarta sempena lawatan kerja tiga hari yang berakhir hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, satu perkara yang perlu diberi
perhatian ialah bekas perdana menteri itu diketahui umum sebagai seorang
tokoh dan pemimpin sebelum ini dan beliau masih mempunyai pandangan,
berpengaruh dan ada pengikutnya.
“Sebab itu, apabila beliau mencetuskan beberapa perkara dalam
penulisan beliau, saya sendiri secara peribadi tidak memandang ringan.
Ia ada impak dan kesannya. Kalau dia (Dr Mahathir) menyentuh mengenai
urusan kerajaan, yang mana patut kita jelaskan, kita patut jelaskan,”
kata Muhyiddin.
Muhyiddin berkata, dalam isu tertentu yang menyentuh soal seperti
1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan hal yang ada kaitan dengan perdana
menteri sendiri, Najib juga boleh bertemu dengan Dr Mahathir untuk
menjawab bagi menjelaskan perkara sebenar.
“Saya setuju supaya bukan sahaja Perdana Menteri menjelaskan (isu-isu
yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir) untuk pengetahuan umum supaya tidak
ada salah anggapan dan salah fahaman tentang perkara tertentu, penting
juga penjelasan untuk pengetahuan rakyat. Tetapi saya fikir yang agak
baik ialah pertemuan, kalau Datuk Seri Najib sebagai anak dan Tun
sebagai bapa, maka saya pun begitu.
“Jumpalah Tun, kalau dah jumpa dahulu, mungkin perlu jumpa lagi, elok
jumpa lagi sebagai bapa dan anak, saya percaya Tun Mahathir pasti akan
menerima dan Datuk Seri Najib tidak akan berasa janggal. Janggal makna
anda tahu, anda berasa seperti anda tahu bukan (sesuatu yang) luar
biasa,” kata beliau.
Katanya, jika bersemuka dan saling memahami, maka Najib boleh
bertanya dan berbincang secara ikhlas dan mungkin isu yang dibangkitkan
itu tidak berterusan serta tidak menjadikan kerajaan pimpinan Najib
dalam keadaan serba salah.
Muhyiddin berkata, beliau menghormati kedua-dua pemimpin dan tidak
mahu membuat kenyataan yang berat sebelah kerana apa yang lebih penting
ialah rakyat mahukan kebenaran dan parti akan menghadapi pilihan raya.
“Kita kena berlaku adil kepada rakyat, untuk berlaku adil kepada
rakyat ialah dengan memberitahu perkara sebenar. Apa yang rakyat mahu
ialah kebenaran, apa yang rakyat mahu ialah cerita yang benar.
Kalau mereka mendengar daripada pihak lain, (akan timbul) pelbagai
cerita, tetapi tidak dapat disahkan (sama ada) benar (atau) tak benar,
jadi (akan) timbul banyak tanda soal dalam kepala dan benak rakyat dan
pasti itu tidak baik untuk kita,” katanya.
Beliau berkata, kabinet pernah berbincang mengenai perkara itu dan
berpendapat bahawa dalam hal seperti itu terutama yang menyentuh
peribadi perdana menteri atau keluarganya dan 1MDB, Perdana Menteri
lebih tahu daripada orang lain.
“Saya tidak fikir Tun (Dr Mahathir) berniat tidak baik sebab dia kata
dia ahli UMNO dan sebagai ahli UMNO dia berhak untuk bersuara dan kita
tidak menyekat beliau bersuara, menulis sesuatu.
“Kita hadapi masa mencabar, kita nak Umno dan BN (Barisan Nasional)
kuat, tak apalah pembangkang kuat tak kuat itu soal dia tetapi yang
penting di peringkat UMNO kita mesti bersatu sebab kita akan hadapi
rakyat dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Katanya, isu-isu itu harus diselesaikan cepat, jangan berlarutan
sampai hampir pilihan raya dan sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau
risau dengan apa yang berlaku. – BERNAMA