Muhyiddin Enggan Layan Kritikan Tun M Minta Najib Undur

ROMPIN – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan melayan kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pemimpin kerajaan termasuk gesaan supaya beliau menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, jika beliau memberikan maklum balas kepada perkara berkenaan maka ia akan menyebabkan pergaduhan.

“Tak payah saya respon pada tu, nanti bergaduh, parah. Media sengaja nak buat benda seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai serangan terbaru Dr. Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara.

Semalam ketika berucap pada program “Bicara Negarawan: Anda Tidak Keseorangan” anjuran gabungan badan bukan kerajaan NGO Prihatin, Dr Mahathir menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan 1 April lalu dengan alasan pegawai pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem cukai baharu itu sendiri tidak memahaminya.

Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada Najib.

Sebelum ini Dr Mahathir turut mendakwa Najib akan menjadi Perdana Menteri yang jauh lebih baik dari Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika melakukan gerakan menjatuhkan dari jawatan Perdana Menteri sebelum ini.

Mengulas mengenai kritikan Dr. Mahathir  yang dilihat akan menjejas kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, Muhyiddin menjelaskan bahawa itu adalah tugas kerajaan untuk memperbetulkan persepsi yang ditohmah itu jika dibangkitkan.

Katanya, lebih baik memberi penerangan kepada rakyat yang mengundi berbanding melayan kritikan bekas Perdana Menteri itu.

“Ada beberapa perkara tertentu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kita jelaskan.

“Ini tanggungjawab jentera BN, tak perlu tumpu apa yang beliau sebut tetapi apa yang berlaku di sini, kalau ditimbulkan di Rompin atau di Permatang Pauh, kita akan bangkitkan.

“Itu lebih baik kerana menjurus kepada pengundi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Institusi Pendidikan Daerah Rompin, di sini, hari ini. -Kedahnews.com