BUKIT MERTAJAM – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini mengarahkan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan
segera menangani masalah dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST).
Kata Muhyiddin, beliau telah bercakap dengan Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek supaya
langkah perundangan dan penguatkuasaan dapat dilakukan segera.
“Kalau lama sangat orang tak lihat orang yang langgar undang-undang
dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya kepada pemberita selepas
proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh
di Institut Kemahiran Belia Negara di sini hari ini.
Katanya masalah
pelaksanaan GST berlaku disebabkan kekeliruan kerana GST yang
dilaksanakan di Malaysia melibatkan tiga kategori.
“GST yang kita buat ada pengecualian, ada zero rated (berkadar sifar)
dan tak dikenakan GST. Tak ada negara di dunia yang buat GST macam
Malaysia.
"Malaysia buat cara kita sendiri. Di lebih 160 negara yang
laksanakan GST, tak ada pengecualian, semua dikenakan (GST). Itu
kelebihan kita,” katanya. – BERNAMA