Mukhriz Adakan Mesyuarat Di Sri Mentaloon Bincang Isu Tun M - Najib?

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah mengadakan satu mesyuarat melibatkan kepimpinan utama UMNO Negeri di sini, pagi ini.

Menurut sumber terbabit, jangkaan awal mengenai mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon itu dikatakan bakal memutuskan mengenai pendirian UMNO Negeri Kedah terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya diarah oleh YAB Dato Seri Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah untuk menjemput semua Exco Negeri, Ketua Bahagian Umno, Ahli Parlimen dan Adun untuk jamuan minum pagi.

“Majlis tersebut akan diadakan di Seri Mentaloon pada 12 April, jam 9.00 pagi,” kata sumber melalui satu mesej yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp, semalam.

Ramai pihak sedang ternanti-nanti pendirian UMNO Negeri Kedah yang diketuai Mukhriz mengenai serangan-serangan yang dilancarkan bapanya terhadap Najib.

Namun Mukhriz mahupun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah hingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap isu berkenaan.

UMNO Negeri Johor, Kelantan dan beberapa negeri lain sebelum ini menegaskan pendirian mereka menyokong penuh kepimpinan Najib.

Sementara itu, majoriti pertubuhan dan NGO turut menzahirkan sokongan masing-masing terhadap pentadbiran Perdana Menteri itu.

Sejak kebelakangan ini, Tun Mahathir dilihat beberapa kali "menyerang" Najib melalui tulisannya di blog chedet.cc dan sidang media secara terbuka melibatkan isu 1MDB, Altantuya dan sebagainya. -Kedahnews.com