Mukhriz Akan "Dikenang" Jika UMNO Kedah Berpecah Belah

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bakal "dikenang" sebagai pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawab kepada penduduk di negeri itu sekiranya dakwaan UMNO Kedah bakal berpecah benar-benar berlaku.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melihat perkara tersebut pastinya akan mencipta sejarah yang akan memberi kesan buruk terhadap karier Mukhriz sebagai seorang pemimpin.

Hishammuddin berkata, Mukhriz harus sedar tanggungjawab yang telah diberikan untuk menjaga pentadbiran sebuah Kerajaan Negeri dan parti  adalah satu amanah cukup berat.

Beliau menyifatkan pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah  oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah tindakan yang tepat berdasar rekod kempinannya sebagai wakil rakyat sebelum ini.

Namun begitu, sekiranya Mukhriz gagal melaksanakan tugas yang telah diamanahkan hingga mengakibatkan UMNO Kedah berpecah, ia akan melenyapkan segala kejayaan yang pernah dicapai oleh Menteri Besar itu.

“Ini tanggungjawabnya sebagai menteri besar untuk memastikan Umno Kedah tidak berpecah.

“Tiada seorang pun dapat lari daripada tanggungjawab... jika beliau gagal bermakna beliau gagal sebagai pemimpin," ujar Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Dalam satu laporan sebelum ini, keengganan Mukhriz menyatakan pendirian terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri telah menimbulkan ketegangan di kalangan semua ahli parlimen dan Adun negeri Kedah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin menegaskan bahawa UMNO Kedah berkemungkinan akan berpecah jika Mukhriz masih enggan melakukan pendirian untuk menyokong Najib.

Ahmad berkata, kesemua ahli parlimen dan Adun negeri Kedah akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan Najib sekiranya Mukhriz tidak berbuat demikian dalam tempoh waktu terdekat.

“Sekiranya Mukhriz enggan menyatakan sokongan secara terbuka saya dan Adun-Adun yang lain akan membuat satu kenyataan berasingan bagi menyatakan sokongan tersebut," ujar Ahmad. -Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor