Mukhriz Bakal Jadi Punca UMNO Kedah Pecah Belah?

Alor Setar  – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin menegaskan UMNO Negeri Kedah berkemungkinan akan berpecah sekiranya Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir masih enggan menyatakan pendirian terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ahmad berkata, Mukhriz seharusnya membuat keputusan segera berhubung pendirian beliau selepas bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menolak pentadbiran Najib ketika ini.

Beliau berkata, seluruh rakyat pastinya ternanti-nanti kenyataan Mukhriz terhadap kritikan Tun Mahathir kepada Najib kerana ia melibatkan kepentingan keluarga dan juga parti.

Tegas Ahmad lagi, sekiranya Mukhriz gagal menyatakan pendirian beliau terhadap isu tersebut dalam jangka masa terdekat, semua ahli parlimen dan Adun bakal mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan sokongan wakil rakyat negeri Kedah kepada Perdana Menteri.

“Sekiranya Mukhriz enggan menyatakan sokongan secara terbuka saya dan Adun-Adun yang lain akan membuat satu kenyataan berasingan bagi menyatakan sokongan tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Mukhriz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan untuk menunggu siasatan terhadap 1MDB sehingga selesai bagi menyatakan pendirian kerana ia seolah-olah tidak mempercayai segala penjelasan yang dilakukan Najib sebelum ini.

Semalam, beliau menyifatkan cadangan yang dikemukakan terhadap Mukhriz untuk meletak jawatan  tidak perlu dipertikaikan lagi kerana Najib bertanggungjawab melantiknya sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. -Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor