Mukhriz Beri Petanda Awal Sokongan Terhadap Najib?

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir seolah-olah memberi 'isyarat' beliau akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Walaupun beliau sudah menegaskan hanya akan berbuat demikian pada 24 April ini namun kenyataannya tidak akan meletakkan jawatan disifatkan sebagai tanda sokongan kepada Najib.

Dalam satu kenyataan, Mukhriz berkata desakan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin adalah satu tindakan tidak wajar.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah telah diamanahkan oleh Najib ketika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali negeri berkenaan daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Justeru itu, beliau hanya akan berbuat demikian sekiranya menerima arahan daripada Najib tanpa melibatkan pengaruh mana-mana pihak yang tidak berkepentingan.

"Saya rasa, tiada sebab untuk saya lepaskan kedudukan ini.

"Tiada masalah besar yang memerlukan saya berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berharap semua pihak dapat bersabar dan menunggu Kerajaan Negeri mengumumkan secara rasmi pendirian untuk menyokong Najib pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini. -Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor