Mukhriz Dakwa Tun M Tidak Pernah Campur Tangan Pentadbirannya Di Kedah

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengakui bapanya, Tun Mahathir Mohamad tidak mempengaruhi pentadbirannya terutamanya  melibatkan hal ehwal berkaitan Kerajaan Negeri.

Mukhriz tidak menafikan wujudnya beberapa dakwaan yang mengatakan pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Kedah turut dibantu bapanya.

Beliau berkata, meskipun Tun Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang dianggap paling berpengaruh ketika ini namun bapanya itu tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran di negeri berkenaan.

Jelasnya lagi, walaupun Tun Mahathir dianggap tokoh yang paling dihormati dikalangan pemimpin dalam dan luar negara namun beliau sebenarnya tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan pentadbiran negeri sepanjang penglibatannya dalam dunia politik.

"Tak banyak yang Ayah Tun boleh bantu kerana beliau sendiri tak pernah mentadbir negeri, malah beliau tak pernah menjadi Adun pun. Jadi laluan menjadi Menteri Besar ni, terpaksa saya lalui sendiri (berdasar pengalaman). 

"Kalau pun ada nasihat dari ayah saya, itu hanya pandangan dari perspekstif negara (mengurus tadbir)," ujar Mukhriz dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mukhriz mengakui kedudukan sebagai seorang anak kepada bekas Perdana Menteri menyebabkan beliau menerima sedikit tekanan berikutan pengaruh Tun Mahathir masih kuat didalam hati rakyat khususnya penduduk di Kedah.

Namun begitu, perkara tersebut tidak akan menjejaskan pentadbirannya sebagai Menteri Besar malah ia turut memberi dorongan agar melaksanakan tugas terbabit sebaik mungkin.

Dalam perkembangan yang sama, Mukhriz mendedahkan penglibatannya sebagai seorang ahli politik berkemungkinan berlaku disebabkan ketika ibunya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali melahirkan beliau, Tun Mahathir dalam perjalanan ke Dewan Parlimen untuk menghadiri hari pertama persidangan.

Tambah beliau secara sinis menganggap kejadian tersebut boleh dianggap sebagai satu faktor mengapa beliau mengikuti jejak langkah bapa berbanding adik beradik yang lain. - Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor