Mukhriz Unik, Istimewa Pada Mashitah

ALOR SETAR - Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang unik dan istimewa.

Kata beliau, Mukhriz mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang jarang dimiliki oleh mana-mana ahli politik ketika ini.

Mashitah turut mengagumi ketenangan yang dimiliki oleh Mukhriz meskipun didesak oleh pelbagai pihak berhubung pendiriannya susulan tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau melihat situasi yang berlaku telah memberi suntikan tambahan kepada UMNO Kedah untuk terus setia bersama-sama Mukhriz bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)  ke-14 nanti.

"Sokongan kami padu, Mukhriz sangat istimewa dan sangat unik...saya rasa Perdana Menteri tahu," kata Mashitah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau turut menafikan berlaku pergolakan dalaman yang sangat serius dikalangan pemimpin UMNO di Kedah dan ia hanyalah satu khabar angin untuk menjatuhkan parti berkenaan menjelang pilihan raya nanti.

Menurut beliau, pentadbiran Kerajaan Negeri berada dalam keadaan sangat-sangat terkawal dan baik meskipun wujud satu desakan kepada Mukhriz untuk meletakkan jawatan baru-baru ini.

Jelasnya lagi, desakan yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin tidak seharusnya berlaku kerana ia akan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat di negeri Kedah.

"Cabar mencabar untuk letak jawatan ini mainan lama, sekarang ini kita kena kuatkan diri menghadapi perkara besar. Siapa tidak setuju, dia yang sepatutnya kena letak jawatan, bukan minta orang lain (letak jawatan)," katanya lagi. - Kedahnews.com/ Mohd Shahir Shukor