Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek |
KUALA LUMPUR – Sejumlah dua juta set “top box” akan
dibekalkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah bagi
membolehkan mereka menikmati siaran televisyen (TV) digital apabila ia
dilaksanakan kelak, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata set “top box” percuma itu akan diberi kepada mereka yang tersenarai sebagai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program E-Kasih.
"Bagi tujuan pelaksanaan TV digital ini, kita sedia maklum bahawa
siaran digital ini tidak boleh diterima televisyen biasa yang
menggunakan sistem analog. Ramai masyarakat luar bandar tidak mempunyai
sistem Astro, mereka perlu dibantu.
"Salah satu daripada syarat yang dipersetujui dengan pihak pembekal dan pelaksana perkhidmatan adalah menyediakan set ‘top box‘
secara percuma bagi membolehkan golongan ini turut menerima siaran TV
digital," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
(BN-Mersing).
Abd Latiff ingin tahu sama ada kerajaan menyediakan bantuan atau
insentif bagi meringankan beban pengguna terutama penduduk miskin luar
bandar bagi menikmati siaran TV digital yang akan dilaksanakan tahun
ini. – BERNAMA