MyTV: RTM Perlu Tahu Selera Penonton Di Malaysia - Shabery Cheek

KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menentukan angin penonton dan berani menyiarkan kandungan yang di luar kebiasaan bagi memastikan salurannya terus relevan.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa kini penonton mempunyai pilihan seperti media sosial bagi mendapatkan maklumat, justeru RTM perlu berani untuk berubah bagi menarik minat orang ramai untuk menonton dan mendengar radio.
  
"Kita mesti menentukan mood (angin) rakyat,  mood negara... cabaran terbaharu ialah dunia digital. Di zaman ini tanpa perlu memasang kepada televisyen atau radio, boleh (mendapatkan berita) melalui i-Pad.
  
"Untuk jadikan RTM relevan, mesti berusaha untuk berubah, memang sudah banyak perubahan, tapi kena tengok pesaing, ada banyak benda kita kena buat," katanya berucap pada Perhimpunan Hari RTM 69 Tahun di Angkasapuri di sini hari ini.
  
Mengambil contoh liputan secara langsung kematian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Februari lepas, beliau berkata ia merupakan satu tindakan berani RTM dalam menyiarkan sesuatu yang di luar kebiasaan.
  
Ahmad Shabery berkata, keputusan untuk menyiarkan berita kematian Nik Aziz itu dibuat setelah mengambil kira bahawa orang ramai ingin menontonnya secara langsung.
  
"Walaupun ada yang marah, tapi kita berani menyiarkannya untuk terus kekal relevan dan akhirnya RTM mendapat pujian di atas tindakan itu," katanya.
  
Selain itu katanya, peralatan canggih dan terkini sahaja tidak akan dapat memastikan sesebuah organisasi penyiaran itu kekal menjadi pilihan, kerana tahap pemikiran setiap warganya juga perlu ditingkatkan.
  
Beliau berkata, sesuatu program misalnya tidak semestinya harus mengetengahkan bakat-bakat terkemuka semata-mata, sebaliknya bagaimana kandungan program disampaikan itu lebih penting.
  
"Tanpa artis atau pelawak terkenal pun, kita boleh menjayakan sesuatu program. Yang penting kita tahu memainkan dan menentukan mood (angin) penonton," katanya.
  
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abu Bakar Abdul Rahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad. - Bernama