Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata siasatan di tempat
kejadian untuk mengumpul bukti termasuk serpihan helikopter dan rakaman
percakapan saksi kini sedang giat dilakukan.
“Kotak hitam yang ditemui pagi semalam akan dihantar ke Cawangan
Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di United Kingdom hari ini untuk
dianalisis bagi mendapatkan laporan awal punca nahas.
“Tempoh untuk mengeluarkan data akan ambil masa tiga hingga empat
hari, analisis data seminggu, jadi kita jangka proses untuk siasat
sepenuhnya punca kemalangan akan ambil masa sebulan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil
Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran Harta Intelek
kepada pengusaha Halia Bentong di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob;
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Hasan Malek; dan Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail.
Sehubungan itu Liow menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang
spekulasi tentang punca kejadian kerana boleh menyinggung perasaan ahli
keluarga mangsa nahas.
Mengulas mengenai identiti pembantu operasi Aidana Baizieca yang
menimbulkan tanda tanya, Liow sekali lagi menegaskan mangsa wanita itu
adalah kakitangan syarikat penerbangan berkenaan dan bukan pembantu
juruterbang.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai laporan hasil bedah siasat dan
menyatakan ia akan diumumkan bersama laporan keseluruhan punca
kejadian.
Nahas pukul 4.55 petang di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening,
Semenyih itu mengorbankan Jamaluddin dan lima penumpang lain termasuk
Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias.
Mereka dalam penerbangan pulang ke ibu negara selepas menghadiri
majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak di Pekan, Pahang. – BERNAMA