SHAH ALAM – Kelewatan kenaikan elaun RM200 kepada guru Kelas Agama
dan Fardu Ain (Kafa) disebabkan perkara itu masih dalam kajian, kata
Exco kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan
Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi berkata pihaknya sedang mengkaji kesesuaian penambahan
peruntukan berkenaan yang dibuat semasa pilihan raya umum (PRU) 2013.
Pada PRU ke-13, kerajaan gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dalam manifesto mereka berjanji untuk menaikkan elaun guru KAFA di
Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.
“Kelewatan kenaikan elaun kepada 6,742 guru KAFA di negeri ini
disebabkan kerajaan negeri perlu membuat justifikasi berkaitan bagi
penambahan peruntukan berkenaan,” katanya pada persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Dr Ahmad Yunus (PAS-Sijangkang) berkata demikian bagi menjawab soalan
lisan Mat Shuhaimi Shafiei (PKR-Seri Muda) yang ingin tahu berhubung
perkembangan Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Rendah Agama Integrasi di
negeri ini.
” Bagi perkara tersebut, kerajaan negeri perlu menyediakan peruntukan
RM18 juta untuk menaikkan elaun sebanyak RM200 bagi seorang guru KAFA
dan setakat ini, kita tiada masalah untuk tujuan berkenaan,” katanya.
Semalam, seorang guru KAFA Selangor hadir di DUN untuk menuntut
kerajaan negeri melunaskan janji pilihan raya umumnya dua tahun lepas
iaitu menaikkan kadar elaun perkhidmatan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan,
Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah
berkata tiada sebarang dasar yang melarang mana-mana umat Islam di
negeri ini terlibat dalam aktiviti penjualan arak di premis perniagaan
termasuk kedai serbaneka 24 jam.
Larangan itu juga tidak terkandung dalam syarat-syarat pengeluaran
lesen penjualan minuman keras berkenaan, katanya menjawab soalan Datuk
Amiruddin Setro (BN-Jeram) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri
menetapkan dasar khusus melarang umat Islam di Selangor terlibat dalam
aktiviti penjualan minuman keras berkenaan.
Bagaimanapun, Ean Yong (DAP-Seri Kembangan) berkata orang Islam di
negeri ini tidak digalakkan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti
penjualan arak.
Ean Yong berkata kerajaan negeri setakat ini sedang melaksanakan
langkah pengawalan kendiri bagi penjualan minuman keras berkenaan kepada
mana-mana umat Islam termasuk individu golongan bawah umur.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga mempunyai satu jawatankuasa
khusus yang dipengerusikan pegawai-pegawai daerah bagi menentukan sama
ada lesen berkenaan perlu dikeluarkan atau sebaliknya di kawasan-kawasan
tertentu.
“Bagi langkah pengeluaran lesen (penjualan arak), perkara itu
dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dengan sokongan daripada polis,
jabatan kastam dan jabatan kesihatan,” katanya. – BERNAMA