Najib Bukti Ketokohan Perdana Menteri, UMNO Kelantan Beri Sokongan Penuh

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengetuai UMNO Kelantan beri sokongan penuh pada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri
KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui pentadbiran negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Najib telah membuktikan ketokohan sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, Najib telah melakukan pelbagai pembaharuan termasuk mentransformasikan pentadbiran dan ekonomi negara yang membolehkan Malaysia mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Dalam waktu yang sama Malaysia diuji dengan pelbagai tragedi dan Perdana Menteri berkali-kali membuktikan kewibaannya termasuklah dalam menangani tragedi kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh.

“Najib amat komited dalam melaksanakan pembaharuan dan pembangunan secara inklsufif. Kelantan turut mendapat pembelaan terutamanya apabila banjir besar melanda pada akhir 2014.

“Perdana Menteri amat prihatin dalam memastikan penduduk yang terjejas akibat banjir kembali menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, dalam sebuah negara demokrasi setiap orang berhak memberi pandangan dan kritikan tetapi semua pihak perlu memberi pandangan secara adil dan objektif.

Kata beliau, antara isu yang diutarakan seperti 1MDB sedang diaudit dengan teliti oleh Ketua Audit Negara dan Perdana Menteri telah menyatakan jika ada pihak didapati bersalah, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Manakala, katanya, berhubung isu berkaitan Koperal Sirul Azhar telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

Kata beliau, UMNO Kelantan bagaimanapun mengakui banyak lagi perkara perlu dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi dan pentadbiran negara termasuk di Kelantan yang masih memerlukan pembelaan.

“Bagaimanapun, Najib telah melakukan yang terbaik dan beliau adalah pemimpin yang terbaik untuk kita semua pada masa ini,” katanya.

Justeru, katanya, UMNO Kelantan meminta semua pihak memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk meneruskan agenda transformasinya kerana beliau mempunyai dasar yang baik dan berkesan untuk masa depan negara.