KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim
Mikro Kredit Penjaja dan Peniaga Cina, melibatkan peruntukan sebanyak
RM30 juta bagi membantu golongan tersebut memajukan perniagaan dan
memudahkan mendapatkan pinjaman kewangan.
Perdana Menteri berkata di bawah skim itu, setiap pemohon boleh
meminjam antara RM5,000 hingga RM15,000, bergantung kepada syarat dan
kelulusan yang ditetapkan.
“Pembangunan (negara) mestilah bersifat inklusif dan adil, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.
“Sebab itulah, hari ini kita lancarkan skim mikro kredit ini, sebab bagi kerajaan, golongan ini perlu dibantu.
“Tidak kira etnik mana pun, peniaga dan penjaja kecil mesti dibantu
kerana mereka banyak memainkan peranan (kepada negara),” katanya ketika
berucap sebelum melancarkan skim tersebut di Jalan Alor di sini hari
ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, timbalannya Datuk Seri Ahmad Bashah
Md Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong,
Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cina, Datuk Lee
Teong Chwee dan Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Jalan Alor Beh
Kok Khiang.
Perdana Menteri menjelaskan, pinjaman di bawah skim itu akan
diuruskan oleh Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia yang dilihat
mampu membantu memudahkan pinjaman kepada kira-kira 130,000 peniaga dan
penjaja kecil Cina seluruh negara.
“Kita tubuh yayasan itu kerana akan ada trustees (pemegang amanah)
yang boleh berkomunikasi dengan peniaga dan penjaja kecil melalui skim
itu.
“Mereka faham gaya dan cara hidup peniaga yang sukar mendapatkan
pinjaman bank kerana masalah seperti tiada slip gaji bulanan dan
penjamin.
“Malah melalui skim dan yayasan ini, peniaga juga boleh mengurangkan
risiko terdedah dengan pinjaman AhLong yang akhirnya menyusahkan dan
menambah masalah mereka,” tambah Najib.
Menurut Najib, bayaran balik dari peminjam kelak boleh digunakan
sebagai modal pusingan bagi membantu peniaga lain sekaligus membuka
peluang yang sama rata dan lebih besar untuk menambah pendapatan.
“Saya berharap peniaga dan penjaja kecil akan merebut peluang yang
diberikan untuk menambahbaik perniagaan dan mendapat hasil pendapatan
yang sewajarnya,” katanya.
Selesai pelancaran, Najib kemudian meluangkan masa melawat gerai
peniaga dan penjaja kecil di kawasan tersebut selain beramah mesra
dengan orang ramai sebelum beredar. – BERNAMA