MAKKAH — Nenek kandung dari sebelah bapa kepada
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sempat menyaksikan pameran
mengenai kehidupan Nabi Muhammad SAW setelah selesai menjalani ibadah
umrah di sini.
Media Arab Saudi pada Rabu melaporkan, Sara Omar Obama; yang berusia
94 tahun, tiba di kota suci kiblat umat Islam itu bersama-sama dengan
seorang anak lelakinya, Saeed, di samping juga cucu lelakinya, Mousa
Obama.
Mereka dilaporkan gembira melaksanakan ibadah umrah di Makkah. Sara
atau nama sebenarnya Sarah Onyago atau nama lainnya, Sarah Ogwei adalah
isteri ketiga kepada datuk kandung Obama, Hussein Onyango di Kenya.
Setelah menghabiskan ibadah umrah, Sara melawat sebuah pameran
tentang kehidupan Rasulullah SAW dan dia menyatakan, apa yang dilihatnya
merupakan contoh terbaik daripada apa disebut sebagai kesederhanaan
Islam.
“Saya sangat gembira mengunjungi pameran ini, yang merupakan contoh
terbaik penyebaran dakwah Islam dengan cara moden yang disokong pelbagai
dokumen ilmiah,” ujar Sara seperti dipetik akhbar harian Arab News.
Sementara itu, harian berbahasa Arab, Akhbar, melaporkan,
nenek pemimpin kuasa besar dunia tersebut bahkan sempat dilihat menangis
sebak ketika menyaksikan pameran tersebut anjuran pihak kerajaan Arab
Saudi.
Kehadiran Sara meskipun hanya dengan berkerusi roda, turut menarik
perhatian ramai jemaah apabila menyedari dia adalah nenek Obama serta
diiringi kawalan ketat dan layanan istimewa para pegawai Arab Saudi.
Presiden AS itu dikenali sebagai seorang penganut Kristian, namun bapanya, Barack Hussein Obama Senior adalah warga Kenya yang beragama Islam dan pernah berkahwin dengan ibu Obama, Stanley Ann Dunham.
Sebahagian besar daripada adik-beradik malah saudara-mara Obama masih
lagi berada di negara Afrika timur bekas jajahan British itu dan
kebanyakan mereka setia kekal beragama Islam. – Agensi