Nik Abduh Larang Guna Istilah Kerajaan, Pembangkang Dalam PRK

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
ALOR SETAR – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa bahawa sepatutnya tiada istilah kerajaan atau pembangkang di dalam sesebuah pilihan raya di negara ini.

Dakwa beliau, parti yang mewakili Pakatan Rakyat juga tidak sepatutnya mengunakan istilah pembangkang manakala Barisan Nasional (BN) tidak wajar menggunakan istilah kerajaan.

“Parti BN mahupun Pakatan Rakyat tidak seharusnya menggunakan istilah kerajaan dalam siri-siri kempen mereka kerana apabila berlaku pilihan raya, tidak ada lagi kerajaan mahupun pembangkang,” dakwanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Justeru, Nik Abduh meminta SPR memastikan pihak yang bertanding dalam pilihan raya adalah mewakili parti, bukan kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau turut meminta SPR menyediakan hak sama rata bagi parti bertanding untuk akses kepada media terutamanya media-media utama elektronik dan cetak.

Katanya, SPR perlu memastikan ada sekatan terhadap penggunaan jentera kerajaan, badan-badan kerajaan termasuk kerajaan negeri.

“SPR perlu memastikan tidak ada perbelanjaan dan peruntukan yang besar menggunakan kuasa dan wang kerajaan dalam meraih undi masyarakat,” tegasnya. -Kedahnews.com